| Mobile| RSS

4.6 juta belum daftar mengundi

Wednesday, June 13, 2007 | posted in , | 0 comments

Berita Harian 11/6/2007

SPR kecewa sikap penduduk termasuk orang politik


KUALA LUMPUR: Kira-kira 4.6 juta rakyat negara ini yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.


Sambil melahirkan kekecewaannya, beliau berkata, daripada jumlah itu, di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dikesan hampir sejuta rakyat belum mendaftar, manakala di Johor Bahru membabitkan 170,000 individu.


“Setakat ini, hanya 300,000 rakyat Malaysia daripada 4.9 juta tampil mendaftar selepas pelancaran Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih peringkat pusat pada 16 April lalu.


“Kami kecewa kerana ramai lagi belum mendaftar. Kebanyakannya di bandar besar, sebaliknya kawasan luar bandar menunjukkan kesedaran tinggi untuk mendaftar sebagai pemilih.


“Setiap tahun, seramai 250,000 pemilih baru bertambah dan jika ditambah jumlah mereka yang enggan mendaftar, jumlahnya akan menjadi lebih besar,” katanya selepas majlis konvokesyen ketiga Kumpulan Kolej Legenda, di sini, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kerja Raya dan Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran Bahagian Sekolah Menengah dan Pengajian Tinggi Negeri, Datuk Ismail Lasim, Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Legenda, Datuk Azizah Abdul Samad dan Presiden merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Kolej Legenda, Raymond Ooi.


Ismail yang mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut membacakan teks ucapan Mohamad dan menyampaikan diploma serta sijil kepada graduan.


Abdul Rashid berkata, SPR melakukan pelbagai cara, termasuk memasuki institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta cara lain untuk menyedarkan mereka belum mendaftar.


“Orang politik pun terbabit sama. Umno contohnya aktif melipatgandakan usaha mendapatkan ramai ahlinya untuk menjalankan urusan pendaftar secara sepenuh masa,” katanya.


“SPR juga melantik parti politik sebagai pendaftar termasuk pembangkang seperti Pas, DAP dan semuanya bergerak aktif. Pas aktif di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

0 Responses So far

Post a Comment

Twitter