| Mobile| RSS

Bapa dakwa anak patah tengkuk dipukul polis

Wednesday, June 13, 2007 | posted in | 0 comments

Berita Harian 7/6/2007

KLANG: Akibat cuba melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya polis di Persiaran Kayangan, Shah Alam, awal pagi Ahad lalu, seorang pemuda kini terlantar di hospital kerana patah tengkuk.

Hairul Anuar Ishak, 20, dikatakan mengalami kecederaan itu akibat dipercayai dipukul anggota polis yang bertugas ketika cuba mengelak sekatan dengan membuat pusingan 'U' di situ, kira-kira jam 2 pagi.

Bapa mangsa, Ishak Tulus, 54, berkata beliau dihubungi rakan anaknya pada jam 6 pagi yang memaklumkan Hairul Anuar terbabit dalam satu kemalangan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Dakwanya, ketika di HTAR, beliau mendapati tubuh anaknya lebam dan luka seperti kesan dipukul, bukan kecederaan yang lazim dialami mangsa kemalangan jalan raya.

"Malah doktor yang merawat anak saya juga memberitahu anak saya perlu dibedah untuk memasukkan besi di tengkuknya yang patah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Ishak berkata, Hairul Anuar memberitahunya pada kejadian itu, dia dipukul selepas merempuh seorang anggota yang bertugas di sekatan jalan raya itu.

Katanya, selepas anaknya pengsan, anggota polis yang bertugas menghantarnya ke HTAR untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, katanya, beliau kesal dengan tindakan anggota polis berkenaan kerana kesalahan anaknya itu kecil dan boleh diselesaikan dengan hanya mengeluarkan saman terhadap anaknya.

Beliau mendakwa cukai jalan bagi motosikal yang ditunggang Hairul Anuar adalah sah.

Berikutan kejadian itu, Ishak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, mengesahkan menerima laporan daripada Ishak dan sudah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kes itu.

Beliau berkata, mangsa dipercayai membuat pusingan 'U' selepas melihat ada sekatan jalan raya dan merempuh anggota polis yang ditempatkan tidak jauh dari kawasan sekatan jalan raya.

Katanya, tindakan menempatkan anggota polis tidak jauh dari kawasan sekatan jalan raya adalah tindakan biasa dilakukan bagi memastikan penjenayah atau pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan tidak terlepas.

Beliau berkata, seorang anggota polis cedera dengan lututnya terkehel dan pengsan di tempat kejadian.

"Jika mangsa tidak melakukan kesalahan, dia tidak sepatutnya takut untuk melalui sekatan jalan raya itu," katanya.

0 Responses So far

Post a Comment

Twitter