| Mobile| RSS

Lebih 10 juta pengundi berdaftar

Wednesday, June 13, 2007 | posted in , | 0 comments

Berita Harian 7/6/2007

Oleh Siti Safa Mohd Nor

Jumlah terbaru pemilih diperakui Suruhanjaya Pilihan Raya diwarta hari ini


PUTRAJAYA: Pengundi berdaftar di seluruh negara kini berjumlah 10,322,956 selepas Daftar Pemilih Induk 2006 dicantumkan dengan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2007 yang diperakui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 29 Mei lalu dan diwartakan hari ini.

Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lalu itu mengandungi 172,127 pemilih, iaitu 141,553 permohonan pemilih baru dan 30,574 permohonan tukar alamat.


Pada masa sama, SPR mengeluarkan 68,671 pemilih daripada rekod pemilih berdaftar atas pelbagai sebab seperti bertukar alamat, meninggal dunia dan dilucutkan hak kewarganegaraan.


Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said dalam satu kenyataan semalam, berkata 29,450 lagi permohonan baru dan bertukar alamat yang diterima tidak dapat diselesaikan dan terpaksa dibawa ke suku tahun kedua kerana terbabit dengan urusan tuntutan serta bantahan.


Tuntutan itu membabitkan kawasan Parlimen P19 Tumpat, P22 Pasir Mas, P23 Rantau Panjang, P26 Ketereh, P30 Jeli dan P31 Kuala Krai, semuanya di Kelantan.


Kawasan Parlimen terbabit dengan bantahan ialah P87 Kuala Krau di Pahang serta P19 Tumpat, P21 Kota Baru, P22 Pasir Mas, P23 Rantau Panjang, P24 Kubang Kerian, P25 Bachok, P26 Ketereh, P27 Tanah Merah, P28 Pasir Putih, P29 Machang, P30 Jeli dan P31 Kuala Krai di Kelantan.


Empat kawasan Parlimen di Terengganu – P36 Kuala Terengganu, P38 Hulu Terengganu, P39 Dungun dan P40 Kemaman, turut terbabit dengan bantahan.


Sabri juga mengingatkan waris pemilih yang meninggal dunia supaya menghantar salinan sijil kematian atau permit pengebumian untuk membersihkan daftar pemilih. Dokumen itu boleh dikirim secara pos, faks atau dihantar sendiri ke Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Ibu Pejabat SPR di sini.

0 Responses So far

Post a Comment

Twitter