| Mobile| RSS

Bertindak lebih tegas: PM

Wednesday, June 13, 2007 | posted in | 0 comments


Mukadepan Berita Harian


Berita Harian 13/6/2007

Oleh Azman Zakaria

KKDN akan siasat segera kebanjiran majalah asing rosakkan pemikiran rakyat

BANGI: Kerajaan akan bertindak lebih tegas terhadap kemasukan dan pengedaran majalah asing yang didapati tidak memberi manfaat atau boleh merosakkan pemikiran rakyat negara ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar).

Perdana Menteri yang peka terhadap isu kebanjiran majalah asing di negara ini berkata, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) akan memantau perkara itu bagi memastikan hanya bahan bacaan yang memanfaatkan dibenarkan berada di pasaran.

Beliau yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, pihaknya akan segera menyiasat dan bertindak tegas terhadap kemasukan dan penerbitan majalah asing yang diedarkan di negara ini, jika ia tidak membawa manfaat dan hanya lebih merosakkan pemikiran rakyat.

“Majalah (yang merosakkan pemikiran) seumpama itu tidak harus dibawa masuk atau diterbitkan. Kita perlu cari media yang ada ilmiah, kalau hiburan pun biarlah hiburan yang baik, healthy entertainment (hiburan sihat).

“Yang tiada manfaat dan lebih membawa kepada kerosakan fikiran atau contoh tidak baik untuk anak-anak, khususnya rakyat Malaysia maka tak payahlah,” katanya selepas merasmikan Muzakarah Imam Peringkat Kebangsaan 2007, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan khas akhbar ini mengenai kebanjiran majalah asing di pasaran tempatan yang sesetengahnya hanya mengambil peluang mendapatkan iklan tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat tempatan.

Kebanyakan majalah berkenaan juga tidak menyiarkan kandungan yang boleh menyumbang ke arah agenda pembangunan negara, sebaliknya lebih cenderung untuk mengetengahkan budaya bertentangan dengan nilai hidup masyarakat Malaysia

Selain itu, ada antaranya hanya memaparkan 20 peratus kandungan tempatan, manakala selebihnya daripada sumber luar negara yang sering tidak sejajar dengan budaya rakyat tempatan.

Lebih membimbangkan, hampir 300,000 naskhah majalah termasuk yang mengandungi unsur lucah serta bertentangan dengan nilai masyarakat negara ini, turut didapati dibawa masuk secara haram dari China untuk dijual secara terbuka di pasaran tempatan, setiap bulan.

Perdana Menteri berkata, kementeriannya akan menjalankan siasatan terhadap kemasukan dan penerbitan majalah asing seperti itu sebelum mengambil tindakan kerana ia tidak sepatutnya dibenarkan untuk dibawa masuk ke negara ini.

0 Responses So far

Post a Comment

Twitter