| Mobile| RSS

Harga ikan di Terengganu mahal

Wednesday, June 13, 2007 | posted in | 0 comments


Persatuan nelayan dakwa hasil tangkapan sedikit kerana perairan diceroboh

KUALA TERENGGANU: Harga ikan di Terengganu yang suatu ketika dijual begitu rendah, kini dijual paling mahal berbanding negeri lain.

Misalnya harga ikan Selayang yang biasanya dijual antara RM2 dan RM3 sekilo, tetapi kini dijual RM8 sekilo, ikan Kerisi dari RM7 atau RM8 sekilo, meningkat kepada RM12 sekilo, manakala sotong dari RM8 sekilo, dipasarkan hingga RM12 sekilo.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan, Hasan Ismail, berkata salah satu punca harga ikan di Terengganu mahal berikutan sumber yang semakin berkurangan.

“Perairan Terengganu kini bukan saja menjadi tumpuan bot nelayan Kelantan dan Pahang tetapi bot nelayan asing,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, kekurangan ikan juga berpunca kerosakan pada tukun yang digunakan untuk menarik ikan membiak akibat kegiatan bot nelayan pukat tunda.

Di KUALA LUMPUR, harga sayur dan ikan meningkat selepas banjir melanda sebahagian besar pusat bandar Ahad lalu.

Tinjauan di Pasar Keramat mendapati harga ikan kembung naik RM1 kepada RM11 sekilo, udang sederhana meningkat RM2 kepada RM14 dan tomato menambah RM1 kepada RM5.

Bagaimanapun, harga ayam turun 10 sen kepada RM5.40 sekilo, ikan cencaru susut RM1 kepada RM9, dan kacang buncis mengurang RM1 kepada RM5 sekilo.

Di Pasar Chow Kit, harga sawi dan bayam masing-masing naik 20 sen kepada RM3 sekilo manakala harga cili merah turun RM1 kepada RM6, kacang buncis mengurang 50 sen kepada RM5.50.

Di KOTA BHARU, harga ikan kembung naik RM2 kepada RM8 sekilo, sawi meningkat 20 sen kepada RM3, tomato dan kacang panjang masing-masing menambah RM1 kepada RM4.50 dan RM3.50, buncis menokok RM1.50 kepada RM5, bawang besar naik 50 sen kepada RM2.50 manakala harga cencaru turun 50 sen kepada RM5.

Harga ikan kembung, udang sederhana, cili merah, tomato, sawi dan bayam juga naik di Shah Alam.

Di PERLIS, harga ikan kembung, cili merah dan tomato meningkat tetapi bayam dan buncis menurun. Bagaimanapun harga ikan kembung, cencaru, cili merah dan kubis menurun di Melaka.

Di KUCHING, harga bawal putih turun RM1 kepada RM16 sekilo, sawi mengurang 10 sen kepada RM2.90, kubis dan tomato pula masing-masing susut 20 sen kepada RM2.80 dan RM4.80.

Di KUANTAN, harga cencaru turun RM1 kepada RM5 sekilogram manakala di GEORGETOWN, harga cili merah turun RM1 kepada RM9.

0 Responses So far

Post a Comment

Twitter