| Mobile| RSS

Johari minta BPR umum segera hasil siasatan

Wednesday, June 13, 2007 | posted in , | 0 comments

Berita Harian 11/6/2007

JITRA: Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) segera mengumumkan hasil siasatan berhubung dakwaan beliau menerima rasuah RM5 juta bagi membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat.

Mohd Johari berkata, walaupun beliau difahamkan kertas siasatan berhubung perkara itu sudah dihantar ke bahagian pendakwaan BPR sejak lebih sebulan lalu, sehingga ini masih tiada sebarang maklumat mengenainya.

“Saya harap mereka umumkan segera (hasil siasatan itu). Saya yakin tidak bersalah dan ia (pengumuman berkenaan) akan dapat membersihkan nama saya,” katanya selepas merasmikan Kempen Kerajinan Solat, di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Buku Pedoman Solat, Fadhilat dan Kaifiat Doa. Hadir sama ialah Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Kedah, Datuk Badarudin Ahmad serta Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Ahmad Faisol Omar.

Mohd Johari mengulas mengenai perkembangan siasatan yang dilakukan BPR terhadapnya berhubung dakwaan beliau menerima sogokan RM5 juta bagi membebaskan tiga individu yang ditahan mengikut Ordinan Darurat, awal Mac lalu.

Beliau berkata, jika BPR mendapati tiada bukti untuk mengaitkannya dengan dakwaan rasuah seperti yang disiarkan oleh sebuah laman web itu, mereka perlu segera membersihkan namanya bagi mengelak wujud pelbagai spekulasi.

“Pada saya, perkara ini sudah selesai kerana saya sudah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkenaan dan saya harap hasil siasatan itu dapat diumumkan secepat mungkin,” katanya.

Mohd Johari berkata, selagi BPR tidak mengeluarkan kenyataan untuk membersihkan namanya, adalah agak sukar untuk beliau menjalankan tugas di kementeriannya atau di kawasan Parlimen Kubang Pasu, yang diwakilinya.

0 Responses So far

Post a Comment

Twitter