| Mobile| RSS

Peguam Negara perjelas tukar pendakwa

Wednesday, June 13, 2007 | posted in | 0 comments

Berita Harian 7/6/2007

PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, menjelaskan beliau terpaksa menukar barisan pendakwaan dalam perbicaraan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibuu, demi kepentingan keadilan.

Katanya, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Salehuddin Saidin yang mengetuai barisan pendakwaan, dilihat bermain badminton dengan hakim kes itu, Datuk Mohd Zaki Md Yasin.

Abdul Gani yang ditemui di pejabatnya, di sini semalam, berkata perkara itu hanya dibawa kepada perhatian beliau Khamis lalu dan disebabkan kesuntukan masa hanya tiga hari untuk seorang DPP baru mengambil alih kes itu, beliau tidak mempunyai pilihan selain meminta masa yang secukupnya untuk menyediakan kes berkenaan.

Abdul Gani berkata, kerana sensitiviti kes itu, beliau memutuskan menarik keluar Salehuddin daripada mengetuai barisan pendakwaan.

“Kebimbangan dibangkitkan bahawa situasi seperti itu mungkin akan ditafsir dan dieksploitasi untuk faedah tertentu oleh pelbagai pihak bagi apa jua tujuan yang mungkin menarik persepsi negatif ke atas integriti Pejabat Peguam Negara dan mahkamah serta pelaksanaan perbicaraan secara adil,” katanya.

Abdul Gani berkata demikian ketika memberi sebab pertukaran barisan pendakwaan itu dilakukan pada saat-saat akhir, yang mengakibatkan kes berprofil tinggi yang sepatutnya bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam Isnin lalu, ditangguhkan kepada 18 Jun.

Salehuddin diganti oleh Ketua Bahagian Sivil Pejabat Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Abdul Gani berkata, sejak dua minggu lalu beliau juga melantik dua lagi DPP kanan, Wong Chiang Kiat serta Manoj Kurup dalam barisan pendakwaan dan hanya Salehuddin dikeluarkan dan diganti oleh Tun Abdul Majid, seorang DPP kanan dan berpengalaman.

Katanya, beliau membuat keputusan itu bagi memastikan tidak timbul dakwaan yang tidak dijangka atau anggapan buruk awam terhadap pegawai-pegawainya dan jabatan serta mahkamah.

“Saya perlu menimbangkan hakikat bahawa keseluruhan pentadbiran sistem keadilan tidak harus dipersoalkan dengan hanya dakwaan atas tanggapan prejudis dan bagi memastikan hak pihak yang terbabit bagi satu perbicaraan yang adil dipertahankan,” katanya. – Bernama

0 Responses So far

Post a Comment

Twitter