| Mobile| RSS

Tak setuju asing pelatih PLKN

Wednesday, June 13, 2007 | posted in | 0 comments

Berita Harian 8/6/2007

82 peratus responden anggap tindakan tidak praktikal

KUALA LUMPUR: Cadangan meletakkan pelatih lelaki dan wanita Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem berasingan tidak akan dilaksanakan kerana kajian mendapati 82 peratus atau 36,000 daripada 44,000 responden tidak bersetuju ia dilaksanakan.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata hasil kajian dibentangkan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Abdul Hadi Awang Kechil, pada mesyuarat MLKN semalam, menunjukkan sebahagian besar responden terdiri daripada pelatih, ibu bapa, jurulatih serta kakitangan pengurusan yang dipilih secara rawak di 80 kem PLKN mengakui ia tidak praktikal.

Katanya, hanya 18 peratus atau 7,920 responden bersetuju. Cadangan itu diutarakan seorang ahli majlis MLKN pada 15 Mac lalu supaya satu kem perintis yang hanya menempatkan pelatih wanita berserta komandan dan jurulatih yang juga wanita diwujudkan bagi mengelak masalah.

“Rekod JLKN menunjukkan isu dan masalah sosial di kem PLKN membabitkan pelatih lelaki dan wanita adalah kes terpencil, malah bukan berlaku sesama pelatih, tetapi antara pelatih dan jurulatih.

“Memandangkan laporan Ketua Pengarah JLKN itu terutama responden yang tidak bersetuju, MLKN putuskan cadangan pengasingan pelatih tidak praktikal, tidak baik dan tidak dipersetujui majlis,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MLKN di Ibu Pejabat JLKN, di sini, semalam.

Lee yang mengakui MLKN turut mengambil kira bantahan melalui media berkata, cadangan itu tidak membantu memupuk perasaan hormat menghormati antara generasi muda lelaki dan wanita, sedangkan realiti hidup biasa mereka perlu bercampur.

“Kita mahu meningkatkan persefahaman antara wira dan wirawati terutama menyemai rasa hormat antara gender,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi turut membentangkan laporan siasatan kes 23 pelatih Kem Lagenda Gunung Ledang, Asahan, Melaka tersesat di hutan ketika menjalani latihan pandu arah pada 30 April lalu dan peraturan baru mengelak ia berulang.

Mengulas perkara itu, Abdul Hadi, berkata latihan pandu arah pada masa depan hanya akan diadakan pada waktu pagi dan di kawasan hutan muda saja dengan setiap masa ditemani jurulatih.

“Jarak perjalanan bagi latihan pandu arah itu tidak boleh melebihi dua kilometer kerana latihan itu sebenarnya hanya untuk belajar pandu arah saja, bukannya meredah hutan. JLKN juga melihat semula keperluan peralatan bagi memastikan mendapat peralatan seperti kompas yang terbaik,” katanya.

Sebelum ini, beliau mengumumkan seorang jurulatih dilucutkan jawatan serta-merta pada 14 Mei lalu, tiga jurulatih lain digantung tugas tiga bulan dari tarikh sama, manakala komandan, timbalan komandan latihan dan ketua jurulatih kem itu diberikan surat tunjuk sebab dan tindakan.

0 Responses So far

Post a Comment

Twitter