| Mobile| RSS

Keluarga hidup dalam ‘reban ayam’

Berita Harian 8/6/2007

Oleh Ahmad Ghazali Musa


Air lombong jadi minuman



KUANTAN: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pepatah ini sesuai untuk sepasang suami isteri dan lapan anak mereka termasuk seorang yang baru berusia tiga minggu yang tinggal di sebuah rumah tidak ubah seperti reban ayam di kawasan bekas lombong, Jalan Kuantan-Muadzam Shah, dekat Gambang, di sini.

Zakaria Deraman, 42, dan Nurhamizah Mat Jusoh, 34, dari Sungai Tong, Setiu, Terengganu berhijrah ke sini, empat tahun lalu, untuk mencari rezeki dengan harapan dapat mengeluarkan keluarganya daripada belenggu kedaifan.


Bagaimanapun, apa yang dicari bukan saja masih belum ditemui, malah pasangan itu bersama anak-anaknya Nur Ain Emylia Janora, 13; Mohd Zulfikar, 11; Rosol Azi, 9; Nurain Juliana, 7; Nuratiqah, 5; Mohd Saro, 3 dan Puteri Zazani, 2, dan Fitri berusia tiga minggu terpaksa menempuh hidup lebih getir dan melarat di bandar.


Keluarga daif ini yang pernah tinggal di Kampung Seri Fajar, dekat Gambang, tiga tahun lalu dengan sewa RM50 sebulan, terpaksa menyisihkan diri ke kawasan bekas lombong itu kerana tidak mampu membayar sewa, selain dikatakan menjadi punca masalah denggi di kampung itu apabila besi buruk dikumpul untuk dijual didakwa menjadi tempat pembiakan aedes.


Agak menyedihkan keadaan isterinya baru bersalin dan belum habis pantang, manakala bayi mereka berusia tiga minggu terpaksa berdepan kehidupan yang menyulitkan di pondok usang yang turut dihurungi nyamuk dan lalat.


Pondok mereka diami di kawasan lombong itu terletak dalam persekitaran semak samun dan kotor, tiada kemudahan elektrik dan air bersih.


Kawasan bekas lombong dihuni pelbagai jenis hidupan air termasuk udang galah, ikan baung dan keli itu menjadi punca rezeki utama keluarga itu, manakala air lombong dijadikan sumber minuman, selain untuk kegunaan memasak, mandi dan membasuh pakaian.


Rezeki diperoleh tidak menentu, kadang kala dalam tempoh seminggu baru dia dapat mengumpul dua kilogram udang galah yang dijual RM25 bagi setiap kilogram, selain pelbagai jenis ikan untuk makanan harian.


"Siapa yang mahu hidup begini miskin, susah dan melarat. Orang pandang hina pada kita. Ketika tinggal di Kampung Seri Fajar anak-anak saya bermain di sekitar kawasan kampung dipandang jijik.


"Besi buruk yang saya kumpul di rumah untuk dijual dikatakan menjadi punca pembiakan aedes. Saya sedar dan akur terhadap pandangan sinis masyarakat kampung dan terpaksa mencari kawasan lain untuk dijadikan tempat berteduh mungkin buat sementara waktu.


Zakaria sekeluarga yang hidup `kais pagi makan pagi, kais petang makan petang', berkata, terdesak dengan kedaifan hidup, dia pernah menyerahkan seorang daripada anaknya kepada orang lain, kononnya mahu membantu meringankan beban.


"Malangnya, orang yang diharap meringankan beban kami sekeluarga mahukan satu perjanjian dibuat dan tidak membenarkan kami menyentuh zuriat yang kami berikan kepadanya sebagai anak angkat.


"Saya tidak boleh terima perjanjian seperti ini. Dia tidak boleh putuskan tali perhubungan kami sekeluarga. Jadi, saya terpaksa mengambil semula anak saya itu dan menyerahkan kembali motosikalnya.


"Saya sudah bertekad susah senang, makan atau tidak, biarlah kami hidup sekeluarga bersama," katanya.


Oleh kerana ketiadaan kenderaan, Zakaria terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira dua kilometer untuk keluar ke jalan besar sebelum meminjam motosikal rakannya di Taman Perumahan Rakyat Gambang untuk ke bandar seperti dilakukan sebelum ini.


"Saya berharap dapat motosikal untuk menghantar anak ke sekolah. Oleh kerana ketiadaan kenderaan, kerap anak saya tidak bersekolah," katanya yang tidak mahu pulang ke kampung mengadukan penderitaannya kerana keluarganya juga susah.


"Sekarang, lombong inilah yang menjadi sumber rezeki utama saya. Di lombong inilah saya hidup, mencari rezeki, mendapatkan sumber air, mandi dan sebagainya, walaupun orang kata di sini ada buaya.


"Syukur Alhamdulillah, setakat ini, saya tidak berdepan musibah seperti terserempak atau diserang haiwan itu," katanya.


Ditanya pernahkah dia mencari pekerjaan tetap untuk mengubah nasib keluarganya, Zakaria yang agak pemalu berkata, dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan, tetapi kadang kala dia membuat keputusan yang kurang bijak.


"Saya mengaku, kadang kala tersilap buat keputusan dalam hidup. Nak buat macam mana, semuanya sudah ditentukan Allah SWT. Lebih-lebih lagi sekarang, isteri saya masih dalam pantang,”katanya.

Wednesday, June 13, 2007 | posted in | 0 comments [ More ]

Tak setuju asing pelatih PLKN

Berita Harian 8/6/2007

82 peratus responden anggap tindakan tidak praktikal

KUALA LUMPUR: Cadangan meletakkan pelatih lelaki dan wanita Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem berasingan tidak akan dilaksanakan kerana kajian mendapati 82 peratus atau 36,000 daripada 44,000 responden tidak bersetuju ia dilaksanakan.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata hasil kajian dibentangkan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Abdul Hadi Awang Kechil, pada mesyuarat MLKN semalam, menunjukkan sebahagian besar responden terdiri daripada pelatih, ibu bapa, jurulatih serta kakitangan pengurusan yang dipilih secara rawak di 80 kem PLKN mengakui ia tidak praktikal.

Katanya, hanya 18 peratus atau 7,920 responden bersetuju. Cadangan itu diutarakan seorang ahli majlis MLKN pada 15 Mac lalu supaya satu kem perintis yang hanya menempatkan pelatih wanita berserta komandan dan jurulatih yang juga wanita diwujudkan bagi mengelak masalah.

“Rekod JLKN menunjukkan isu dan masalah sosial di kem PLKN membabitkan pelatih lelaki dan wanita adalah kes terpencil, malah bukan berlaku sesama pelatih, tetapi antara pelatih dan jurulatih.

“Memandangkan laporan Ketua Pengarah JLKN itu terutama responden yang tidak bersetuju, MLKN putuskan cadangan pengasingan pelatih tidak praktikal, tidak baik dan tidak dipersetujui majlis,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MLKN di Ibu Pejabat JLKN, di sini, semalam.

Lee yang mengakui MLKN turut mengambil kira bantahan melalui media berkata, cadangan itu tidak membantu memupuk perasaan hormat menghormati antara generasi muda lelaki dan wanita, sedangkan realiti hidup biasa mereka perlu bercampur.

“Kita mahu meningkatkan persefahaman antara wira dan wirawati terutama menyemai rasa hormat antara gender,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi turut membentangkan laporan siasatan kes 23 pelatih Kem Lagenda Gunung Ledang, Asahan, Melaka tersesat di hutan ketika menjalani latihan pandu arah pada 30 April lalu dan peraturan baru mengelak ia berulang.

Mengulas perkara itu, Abdul Hadi, berkata latihan pandu arah pada masa depan hanya akan diadakan pada waktu pagi dan di kawasan hutan muda saja dengan setiap masa ditemani jurulatih.

“Jarak perjalanan bagi latihan pandu arah itu tidak boleh melebihi dua kilometer kerana latihan itu sebenarnya hanya untuk belajar pandu arah saja, bukannya meredah hutan. JLKN juga melihat semula keperluan peralatan bagi memastikan mendapat peralatan seperti kompas yang terbaik,” katanya.

Sebelum ini, beliau mengumumkan seorang jurulatih dilucutkan jawatan serta-merta pada 14 Mei lalu, tiga jurulatih lain digantung tugas tiga bulan dari tarikh sama, manakala komandan, timbalan komandan latihan dan ketua jurulatih kem itu diberikan surat tunjuk sebab dan tindakan.

| posted in | 0 comments [ More ]

Keluarga restu (PM kahwini Jeanne): Khairy

Berita Harian 7/6/2007

KUALA LUMPUR: Keluarga dan anak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi gembira serta merestui keputusan Perdana Menteri untuk berkahwin dengan Jeanne Abdullah, Sabtu ini.

Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, berkata beliau dan keluarga Abdullah sudah lama mengenali Jeanne dan amat rapat dengannya.

“Saya, isteri saya, Nori serta abang ipar saya dan isterinya, gembira dengan berita ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program realiti TV MyTeam2 di sini, semalam.

Khairy juga berkata, Abdullah sudah mendapatkan pandangan ahli keluarga yang merestui perkahwinan itu.

“Ia perkembangan yang sangat baik. Kami sekeluarga memberi sokongan penuh dan merestui perkahwinan ini.

“Kita akan membuat majlis kecil-kecilan yang akan dihadiri ahli keluarga terdekat,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Ahmad Badawi akan melangsungkan perkahwinan dengan Jeanne, Sabtu ini semalam.

Majlis akad nikah pada hari itu akan dilangsungkan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana dan akan dihadiri oleh keluarga terdekat.

Jeanne dilahirkan di Kuala Lumpur pada 29 Julai 1953 dan anak sulung daripada empat adik beradik. Beliau mempunyai dua orang anak perempuan, Nadiah dan Nadene.

| posted in | 0 comments [ More ]

Lebih 10 juta pengundi berdaftar

Berita Harian 7/6/2007

Oleh Siti Safa Mohd Nor

Jumlah terbaru pemilih diperakui Suruhanjaya Pilihan Raya diwarta hari ini


PUTRAJAYA: Pengundi berdaftar di seluruh negara kini berjumlah 10,322,956 selepas Daftar Pemilih Induk 2006 dicantumkan dengan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2007 yang diperakui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 29 Mei lalu dan diwartakan hari ini.

Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lalu itu mengandungi 172,127 pemilih, iaitu 141,553 permohonan pemilih baru dan 30,574 permohonan tukar alamat.


Pada masa sama, SPR mengeluarkan 68,671 pemilih daripada rekod pemilih berdaftar atas pelbagai sebab seperti bertukar alamat, meninggal dunia dan dilucutkan hak kewarganegaraan.


Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said dalam satu kenyataan semalam, berkata 29,450 lagi permohonan baru dan bertukar alamat yang diterima tidak dapat diselesaikan dan terpaksa dibawa ke suku tahun kedua kerana terbabit dengan urusan tuntutan serta bantahan.


Tuntutan itu membabitkan kawasan Parlimen P19 Tumpat, P22 Pasir Mas, P23 Rantau Panjang, P26 Ketereh, P30 Jeli dan P31 Kuala Krai, semuanya di Kelantan.


Kawasan Parlimen terbabit dengan bantahan ialah P87 Kuala Krau di Pahang serta P19 Tumpat, P21 Kota Baru, P22 Pasir Mas, P23 Rantau Panjang, P24 Kubang Kerian, P25 Bachok, P26 Ketereh, P27 Tanah Merah, P28 Pasir Putih, P29 Machang, P30 Jeli dan P31 Kuala Krai di Kelantan.


Empat kawasan Parlimen di Terengganu – P36 Kuala Terengganu, P38 Hulu Terengganu, P39 Dungun dan P40 Kemaman, turut terbabit dengan bantahan.


Sabri juga mengingatkan waris pemilih yang meninggal dunia supaya menghantar salinan sijil kematian atau permit pengebumian untuk membersihkan daftar pemilih. Dokumen itu boleh dikirim secara pos, faks atau dihantar sendiri ke Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Ibu Pejabat SPR di sini.

| posted in , | 0 comments [ More ]

Bapa dakwa anak patah tengkuk dipukul polis

Berita Harian 7/6/2007

KLANG: Akibat cuba melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya polis di Persiaran Kayangan, Shah Alam, awal pagi Ahad lalu, seorang pemuda kini terlantar di hospital kerana patah tengkuk.

Hairul Anuar Ishak, 20, dikatakan mengalami kecederaan itu akibat dipercayai dipukul anggota polis yang bertugas ketika cuba mengelak sekatan dengan membuat pusingan 'U' di situ, kira-kira jam 2 pagi.

Bapa mangsa, Ishak Tulus, 54, berkata beliau dihubungi rakan anaknya pada jam 6 pagi yang memaklumkan Hairul Anuar terbabit dalam satu kemalangan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Dakwanya, ketika di HTAR, beliau mendapati tubuh anaknya lebam dan luka seperti kesan dipukul, bukan kecederaan yang lazim dialami mangsa kemalangan jalan raya.

"Malah doktor yang merawat anak saya juga memberitahu anak saya perlu dibedah untuk memasukkan besi di tengkuknya yang patah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Ishak berkata, Hairul Anuar memberitahunya pada kejadian itu, dia dipukul selepas merempuh seorang anggota yang bertugas di sekatan jalan raya itu.

Katanya, selepas anaknya pengsan, anggota polis yang bertugas menghantarnya ke HTAR untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, katanya, beliau kesal dengan tindakan anggota polis berkenaan kerana kesalahan anaknya itu kecil dan boleh diselesaikan dengan hanya mengeluarkan saman terhadap anaknya.

Beliau mendakwa cukai jalan bagi motosikal yang ditunggang Hairul Anuar adalah sah.

Berikutan kejadian itu, Ishak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, mengesahkan menerima laporan daripada Ishak dan sudah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kes itu.

Beliau berkata, mangsa dipercayai membuat pusingan 'U' selepas melihat ada sekatan jalan raya dan merempuh anggota polis yang ditempatkan tidak jauh dari kawasan sekatan jalan raya.

Katanya, tindakan menempatkan anggota polis tidak jauh dari kawasan sekatan jalan raya adalah tindakan biasa dilakukan bagi memastikan penjenayah atau pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan tidak terlepas.

Beliau berkata, seorang anggota polis cedera dengan lututnya terkehel dan pengsan di tempat kejadian.

"Jika mangsa tidak melakukan kesalahan, dia tidak sepatutnya takut untuk melalui sekatan jalan raya itu," katanya.

| posted in | 0 comments [ More ]

Mahkamah Syariah lebih kukuh

Berita Harian 7/6/2007

KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Azlina Jailani atau Lina Joy untuk menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya mengukuhkan fungsi Mahkamah Syariah sebagai satu-satunya institusi kehakiman yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam di negara ini.


Ketua Hakim Syarie, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman, berkata keputusan itu membuktikan hanya Mahkamah Syariah boleh membicarakan kes membabitkan Islam dan umatnya, termasuk isu murtad.


Sekiranya kes berkaitan hal ehwal umat Islam boleh dibicarakan oleh mahkamah lain selain Mahkamah Syariah, tegasnya, institusi kehakiman itu bukan saja kehilangan fungsi, malah mungkin juga tidak dihormati.


“Keputusan itu jelas menunjukkan hanya Mahkamah Syariah boleh membicarakan dan membuat keputusan mengenai hal ehwal umat Islam.


“Ia juga mengukuhkan bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagai institusi tunggal kehakiman untuk hal-hal berkaitan agama Islam dan penganutnya.


“Jika mahkamah lain boleh campur tangan membuat keputusan mengenai hal ehwal Islam, maka habislah fungsi Mahkamah Syariah dan ramailah nanti umat Islam mengemukakan kes seperti ini di mahkamah sivil,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Majlis Mahabbah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Bersama Masyarakat di Dewan Saadah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Sabah, Datuk Aidi Moktar.


Sheikh Ghazali berkata, bidang kuasa Mahkamah Syariah bukan terhad kepada kes murtad yang dibawa ke muka pengadilan, malah turut merangkumi perakuan sumpah keluar Islam yang dikeluarkan Pesuruhjaya Sumpah atau Majistret Kelas Dua.


“Walaupun Pesuruhjaya Sumpah mengeluarkan surat sumpah berkaitan tindakan seseorang itu keluar Islam, namun undang-undang jelas memperuntukkan hanya Mahkamah Syariah berhak membuat pengesahan,” katanya.

Peguam Negara perjelas tukar pendakwa

Berita Harian 7/6/2007

PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, menjelaskan beliau terpaksa menukar barisan pendakwaan dalam perbicaraan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibuu, demi kepentingan keadilan.

Katanya, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Salehuddin Saidin yang mengetuai barisan pendakwaan, dilihat bermain badminton dengan hakim kes itu, Datuk Mohd Zaki Md Yasin.

Abdul Gani yang ditemui di pejabatnya, di sini semalam, berkata perkara itu hanya dibawa kepada perhatian beliau Khamis lalu dan disebabkan kesuntukan masa hanya tiga hari untuk seorang DPP baru mengambil alih kes itu, beliau tidak mempunyai pilihan selain meminta masa yang secukupnya untuk menyediakan kes berkenaan.

Abdul Gani berkata, kerana sensitiviti kes itu, beliau memutuskan menarik keluar Salehuddin daripada mengetuai barisan pendakwaan.

“Kebimbangan dibangkitkan bahawa situasi seperti itu mungkin akan ditafsir dan dieksploitasi untuk faedah tertentu oleh pelbagai pihak bagi apa jua tujuan yang mungkin menarik persepsi negatif ke atas integriti Pejabat Peguam Negara dan mahkamah serta pelaksanaan perbicaraan secara adil,” katanya.

Abdul Gani berkata demikian ketika memberi sebab pertukaran barisan pendakwaan itu dilakukan pada saat-saat akhir, yang mengakibatkan kes berprofil tinggi yang sepatutnya bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam Isnin lalu, ditangguhkan kepada 18 Jun.

Salehuddin diganti oleh Ketua Bahagian Sivil Pejabat Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Abdul Gani berkata, sejak dua minggu lalu beliau juga melantik dua lagi DPP kanan, Wong Chiang Kiat serta Manoj Kurup dalam barisan pendakwaan dan hanya Salehuddin dikeluarkan dan diganti oleh Tun Abdul Majid, seorang DPP kanan dan berpengalaman.

Katanya, beliau membuat keputusan itu bagi memastikan tidak timbul dakwaan yang tidak dijangka atau anggapan buruk awam terhadap pegawai-pegawainya dan jabatan serta mahkamah.

“Saya perlu menimbangkan hakikat bahawa keseluruhan pentadbiran sistem keadilan tidak harus dipersoalkan dengan hanya dakwaan atas tanggapan prejudis dan bagi memastikan hak pihak yang terbabit bagi satu perbicaraan yang adil dipertahankan,” katanya. – Bernama

| posted in | 0 comments [ More ]

Twitter