| Mobile| RSS

PTPTN bincang potong gaji peminjam ingkar

Wednesday, June 13, 2007 | posted in | 0 comments

Berita Harian 11/6/2007

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini pada fasa akhir perundingan dengan jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membolehkan pemotongan gaji dibuat bagi kira-kira 10,000 kakitangan awam yang ingkar menjelaskan pinjaman mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN, Yunos Abd Ghani, berkata PTPTN masih berkompromi dengan peminjam yang liat dan mencari formula bagi memudahkan peminjam menjelaskan pinjaman masing-masing.

“Antara cara yang dikenal pasti ialah pemotongan gaji dan kita percaya, kaedah yang dirancang itu membolehkan proses pembayaran pinjaman menjadi lebih mudah.

“Kita juga sedar keadaan peminjam yang kebanyakannya graduan baru mendapat pekerjaan dan untuk tidak membebankan mana-mana pihak, kita turut melaksanakan pendekatan menyediakan jadual pembayaran semula mengikut kemampuan peminjam,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ong Tee Keat, berkata kira-kira 10,000 pegawai awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikesan belum membayar balik pinjaman PTPTN.

Senarai nama peminjam ingkar termasuk guru, pensyarah, pegawai tadbir diplomatik dan doktor diperoleh melalui maklumat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan majikan masing-masing.

Mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tata Tertib) 1993, pegawai yang melakukan kesalahan tata tertib boleh dikenakan tindakan sama ada diberi surat amaran, denda, lucut hak gaji, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat dan buang kerja.

Yunus berkata, walaupun PTPTN sentiasa mencari kaedah terbaik untuk peminjam menjelaskan pinjaman masing-masing namun peminjam yang ingkar selepas menerima 11 peringkat peringatan akan ditahan pasport.

“Perkara itu sudah dibincangkan dan diluluskan Kabinet namun pelaksanaan belum dibuat,” katanya.

0 Responses So far

Post a Comment

Twitter