| Mobile| RSS

Mahkamah Syariah lebih kukuh

Wednesday, June 13, 2007 | posted in , | 0 comments

Berita Harian 7/6/2007

KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Azlina Jailani atau Lina Joy untuk menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya mengukuhkan fungsi Mahkamah Syariah sebagai satu-satunya institusi kehakiman yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam di negara ini.


Ketua Hakim Syarie, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman, berkata keputusan itu membuktikan hanya Mahkamah Syariah boleh membicarakan kes membabitkan Islam dan umatnya, termasuk isu murtad.


Sekiranya kes berkaitan hal ehwal umat Islam boleh dibicarakan oleh mahkamah lain selain Mahkamah Syariah, tegasnya, institusi kehakiman itu bukan saja kehilangan fungsi, malah mungkin juga tidak dihormati.


“Keputusan itu jelas menunjukkan hanya Mahkamah Syariah boleh membicarakan dan membuat keputusan mengenai hal ehwal umat Islam.


“Ia juga mengukuhkan bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagai institusi tunggal kehakiman untuk hal-hal berkaitan agama Islam dan penganutnya.


“Jika mahkamah lain boleh campur tangan membuat keputusan mengenai hal ehwal Islam, maka habislah fungsi Mahkamah Syariah dan ramailah nanti umat Islam mengemukakan kes seperti ini di mahkamah sivil,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Majlis Mahabbah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Bersama Masyarakat di Dewan Saadah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Sabah, Datuk Aidi Moktar.


Sheikh Ghazali berkata, bidang kuasa Mahkamah Syariah bukan terhad kepada kes murtad yang dibawa ke muka pengadilan, malah turut merangkumi perakuan sumpah keluar Islam yang dikeluarkan Pesuruhjaya Sumpah atau Majistret Kelas Dua.


“Walaupun Pesuruhjaya Sumpah mengeluarkan surat sumpah berkaitan tindakan seseorang itu keluar Islam, namun undang-undang jelas memperuntukkan hanya Mahkamah Syariah berhak membuat pengesahan,” katanya.

0 Responses So far

Post a Comment

Twitter